SEMPORNA, SABAH : 20 pelabur dakwa ditipu skim pelaburan perladangan rumpai laut di Semporna, Sabah.
10th November, 2010
PETALING JAYA: Kira-kira 20 pelabur skim pelaburan perladangan membabitkan rumpai laut di Sabah mendakwa kerugian lebih RM5 juta apabila penganjur skim itu melarikan diri.
Pejabat penganjur skim yang menjanjikan pulangan sebanyak 20 peratus daripada jumlah yang dilaburkan pada setiap tiga bulan itu yang terletak di Cheras di sini juga telah disita.
Seorang mangsa, mendakwa syarikat yang diwakilinya mengusahakan ladang tanaman rumpai laut di Semporna. “Satu lot berharga RM3,300 dan jika membeli lima lot pulangan yang akan diterima ialah RM3,300.
“Untuk pelabur yang membeli lebih dari lima lot, mereka juga akan diberi tiket penerbangan, makan serta tempat tinggal untuk pergi melihat ladang itu,” katanya kepada pemberita di Pejabat Biro Aduan Komuniti MCA Petaling Jaya Utara di sini kelmarin.
Beliau berkata bagi menggalakkan lagi bilangan pelabur, lelaki itu melantik 19 syarikat untuk menjadi ejen bagi mencari lebih ramai lagi pelabur.
“Saya merupakan salah seorang dari 19 pengarah syarikat itu, jadi jika saya mencari lebih banyak individu di bawah saya, makin banyak pulangan yang akan saya dapat.
“Di bawah saya ada kira-kira 1,000 orang. Secara peribadi saya telah melabur sebanyak RM500,000 manakala pelaburan oleh individu di bawah saya keseluruhannya kira-kira RM5 juta,” katanya.
Mandy berkata laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 31 Dis 2009 dan kes itu juga telah dirujuk kepada Bank Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun yang sama.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Azli Mohamad, 40, berkata dia terjebak untuk melabur sehingga RM100,000 kerana dipengaruhi dengan janji serta bukti yang ditunjukkan.
“Ketika melawat ladang yang dikatakan kepunyaannya itu, banyak banting-banting logo syarikatnya selain itu kami juga dibawa menaiki bot yang ada nama syarikatnya,” katanya.