Pasport siap satu jam mulai hari ini
May 11, 2010, Tuesday
KUALA LUMPUR: Bermula hari ini orang ramai boleh mendapatkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dalam tempoh satu jam selepas pembayaran dibuat, berbanding dua jam sebelum ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman.
“Langkah ini selaras dengan usaha kerajaan yang mahu setiap proses permohonan dokumen berkenaan dipercepatkan dan dikeluarkan dalam tempoh satu jam,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Katanya perkhidmatan tersebut boleh diperolehi di beberapa pejabat cawangannya yang terpilih di seluruh negara.
“Kita ada 37 pejabat seluruh negara, buat masa ini kita laksanakan di 25 pejabat cawangan kita dulu sebab di pe-jabat besar kita seperti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, kena buat persediaan mungkin kena tambah pekerja dulu dan peralatan untuk cepatkan proses pengeluaran,” katanya.
Antara pejabat-pejabat imigresen yang akan menawarkan perkhidmatan itu esok adalah Alor Setar, Kulim, Bukit Kayu Hitam, Langkawi dan Sungai Petani di Kedah.
Di Johor pula boleh didapati di pejabat cawangannya di Muar, Mersing, Kukup dan Segamat. Di Pahang ia boleh didapati di Kuantan, Raub dan Temerloh. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan