DAP minta polis siasat Dr M dan Najib
Laporan dibuat berikutan Zahid baru-baru ini telah memberi jaminan serta akuan dalam bentuk sumpah bahawa pihak polis akan menyiasat sesiapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu sensitif.
PETALING JAYA: Semalam satu laporan polis telah dibuat oleh Ahli Parlimen Segambut dari parti DAP, Lim Lip Eng terhadap mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Lip Eng, beliau membuat laporan polis kerana sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini telah memberi jaminan serta akuan dalam bentuk sumpah bahawa pihak polis akan menyiasat sesiapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu sensitif.
“Kata Zahid, polis juga akan menyiasat dalam tempoh 24 jam. Saya telah membuat laporan polis mengenai ucapan Najib yang berunsur hasutan semasa Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2010,” katanya.
Lip Eng telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. Laporan yang dilakukan terhadap Mahathir pula berikutan desakan yang dibuat oleh Lim Kit Siang yang tidak puas hati terhadap kenyataan Mahathir berhubung beliau bertanding di Gelang Patah dalam pilihan raya umum lalu.
Kit Siang mendakwa Mahathir berkata, beliau bertanding kerusi itu kerana mahu orang Cina di Gelang Patah dan Johor “menolak bekerjasama dan berkongsi dengan orang Melayu” selain “membenci orang Melayu”.
Difahamkan laporan polis itu dibuat berikutan siasatan di bawah Akta Hasutan yang dilakukan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya di sebuah ceramah pada tahun 2011.
Sebelum ini juga dilaporkan DAP Perak telah membuat laporan polis terhadap Zahid sendiri kerana didakwa telah membuat satu kenyataan yang berbaur hasutan semasa ucapannya berhubung pilihanraya kecil Pengkalan Kubor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan